PETALING JAYA: Selaras dengan usaha untuk meningkatkan pemahaman mengenai amalan demokrasi serta pilihan raya di kalangan orang muda, Kementerian Pendidikan akan menambah baik sukatan pelajaran subjek Sejarah Tingkatan 4 dan 5, kata menteri berkenaan Maszlee Malik.

Beliau berkata penambahbaikan sukatan pelajaran itu turut meliputi pendedahan amali mengenai amalan demokrasi dan pilihan raya.

“Kita akan cuba perbaiki dan tambah beberapa elemen. Bukan sekadar apa yang mereka (pelajar) belajar dalam buku dan kelas, tetapi lebih daripada itu yang mana kita akan minta para guru membuat latihan amali untuk diperkenalkan kepada mereka.

“Pengamalan demokrasi juga bukanlah asing dalam keterlibatan kokurikulum. Kita sedang cuba untuk memperkenalkan di sekolah-sekolah dengan pelbagai perkara praktikal berkaitan pengamalan demokrasi dan pilihan raya itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akreditasi Emas Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) untuk Politeknik Malaysia di sini, hari ini.

Penambahbaikan sukatan pelajaran itu adalah susulan daripada Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun, yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan modul pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses demokrasi dan pilihan raya di awal usia.

Sempena majlis hari ini, sembilan buah politeknik Malaysia menerima pengiktirafan Emas daripada APACC yang mana enam daripada mereka berada pada kedudukan sepuluh teratas.

Pengiktirafan tersebut dapat dijadikan penanda aras kecemerlangan aliran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik dalam aspek kualiti, kebertanggungjawaban serta kepercayaan awam terhadap politeknik Malaysia.

— BERNAMA

Share This